Media sosial

IG TT

Sultan Selangor Kongsi Lukisan Kegemaran

K

LANG: Lukisan termasuk potret keluarga diraja sememangnya sesuatu yang biasa setiap kali mengunjungi muzium di seluruh dunia. Seperti keluarga diraja di Eropah dan negara lain yang mempunyai atau pernah diperintah oleh Raja, tidak asing lagi jika ada potret Raja dan Sultan diabadikan, terutama ketika belum ada teknologi kamera. Begitu juga bagi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bukan saja mempunyai koleksi lukisan potret diri baginda atau susur galur keluarga, malah baginda turut gemar setiap apa yang berlaku sama ada peristiwa bersejarah mahupun pengalaman baginda sendiri diabadikan dalam bentuk lukisan. Minat luar biasa baginda terhadap seni itu turut dikongsi bersama rakyat jelata di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz yang dibuka kepada umum sejak 19 Oktober 2007.

Pengurus Besar galeri berkenaan, Munasor Aliyasak, berkata pada bila-bila masa sekiranya ada lukisan yang baharu, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan menempatkannya di galeri itu untuk tatapan pengunjung.

“Tuanku suka suatu yang indah dan cantik menerusi lukisan. Jadi, Tuanku akan menterjemah perkara yang digemarinya dalam bentuk lukisan (dengan mengarahkan pelukis yang dilantik) kerana setiap lukisan ada ceritanya.

“Jika berkunjung ke galeri ini, pengunjung akan melihat dapat lukisan gambar Pengisytiharan Tanah Melayu pada 31 Ogos 2017, lukisan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mengenakan pakaian adat istiadat serta lukisan setem lama yang dilukis semula dalam saiz lebih besar.

“Galeri ini turut diserikan dengan gambar yang dilukis semula seperti istana dan masjid di seluruh Selangor,” katanya.

Beliau berkata, baginda juga ada meminta kakitangannya memperagakan pakaian seragam pasukan keselamatan serta pakaian rasmi adat istiadat lama dalam simpanannya agar dapat dilukis semula oleh pelukis yang dilantik.

Lantik Pelukis Diraja Selangor

Sebahagian besar artifak di dalam galeri itu diserikan dengan koleksi lukisan yang dilukis oleh Pelukis Diraja Selangor yang dilantik oleh baginda pada 18 Mac 2010 iaitu Datuk Azman Yusof.

Munasor berkata, minat baginda terhadap lukisan dizahirkan sebelum bermulanya pelantikan Azman secara rasmi.

“Saya nampak dari ketelitian Azman, menarik minat Tuanku, tidak kira lukisan potret manusia atau barangan, pemandangan, peristiwa atau suasana,” katanya.

Beliau berkata, ketelitian yang ditonjolkan oleh Azman, bukan sahaja dikagumi oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah, malah orang ramai dan beliau sendiri tertarik kerana ia lain daripada yang lain.

“Kebanyakan orang yang melihat hasil lukisannya tidak dapat membezakan sama ada ia sekadar lukisan atau gambar sebenar, sampai begitu sekali tahap ketelitian beliau dalam melukis,” katanya.

Munasor berkata, beliau kagum dengan minat baginda terhadap barang antik iaitu kacip pinang sehingga meminta Azman melukisnya dalam saiz besar secara terperinci.

“Tuanku sendiri meminati lukisan kacip pinang yang unik dan besar itu, lukisan itu termasuk dalam koleksi peribadi baginda dan tidak ditempatkan di galeri ini. Justeru, saya yakin lukisan itu begitu istimewa bagi Tuanku.

“Tuanku sangat teliti ketika meminta Datuk Azman melukis semula gambar kacip pinang yang bersaiz biasa kepada saiz besar,” katanya.

“Ini kerana baginda mengarahkan Datuk Azman melakukan sedikit perubahan pada lukisan agar wajah semua Raja-Raja Melayu yang hadir kelihatan dalam peristiwa sejarah yang dilakarkan semula itu.”

Pelukis pinda gambar asal pada lukisan

Begitu juga gambar hitam putih peristiwa Pengisytiharan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 menarik perhatian baginda untuk dilakar semula dalam bentuk lukisan bersaiz besar.

“Lukisan peristiwa negara kita mencapai kemerdekaan yang terdapat di galeri ini menarik perhatian pengunjung malah ramai yang kagum dengan lukisan itu.

“Ini kerana baginda mengarahkan Datuk Azman melakukan sedikit perubahan pada lukisan agar wajah semua Raja-Raja Melayu yang hadir kelihatan dalam peristiwa sejarah yang dilakarkan semula itu.

“Ketika Tuanku Abdul Rahman melaungkan Merdeka, semua Raja-Raja Melayu hadir dan berada di belakang baginda.

“Namun, apabila gambar diambil oleh jurugambar, dari sudut lensanya separuh wajah Raja Perlis pada ketika itu, Almarhum Tuanku Syed Harun Putra dihalang oleh tubuh Tuanku Abd Rahman yang sedang berdiri melaungkan Merdeka.

“Memandangkan itu peristiwa penting dan bersejarah bagi negara kita untuk dikenang sepanjang zaman kerana membabitkan semua Raja-Raja Melayu, Tuanku mahu lukisan yang dihasilkan itu sempurna dan menampakkan semua individu penting itu.

“Jadi, Tuanku arahkan Datuk Azman melukis semula gambar itu seolah-olah Tuanku Abdul Rahman tidak menghalang jurugambar untuk merakam gambar Raja-Raja Melayu di belakang Tuanku.

“Ini bermakna dalam gambar yang dilukis semula itu, pengunjung dapat melihat wajah Raja Perlis pada ketika itu, satu-satunya Raja Melayu yang tiada dalam gambar sebenar tetapi dinampakkan dalam lukisan yang dihasilkan,” katanya.

BHPlus yang berkunjung ke galeri itu berpeluang melihat sendiri lukisan yang begitu menghidupkan suasana ketika Tuanku Abdul Rahman melaungkan Merdeka walaupun sekadar gambar hitam putih.

Imaginasi kreatif Azman mewujudkan wajah Raja Perlis yang terhalang itu menunjukkan seolah-olah beliau masuk ke dalam peristiwa bersejarah itu.

Lukisan disangka gambar

Turut dipamerkan di galeri berkenaan lukisan peristiwa Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan yang disaksikan oleh Raja-Raja Malaysia di Istana Negara pada 1 Februari 1974.

Munasor berkata, dalam lukisan itu, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mewakili Selangor, manakala Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah mewakili Kerajaan Persekutuan.

Ketika gambar itu dirakam, Tuanku Abdul Halim dan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sedang menandatangani perjanjian penyerahan terbabit.

“Ramai yang tidak percaya itu hanya lukisan, bukan gambar sebenar kerana Datuk Azman melukisnya dengan begitu teliti.

“Pengunjung menyangkakan lukisan itu gambar biasa kerana Datuk Azman melukis kerawang pada pakaian Tuanku Abdul Halim dan tenunan songket Sultan Salahuddin Abdul Aziz dengan begitu sempurna.

“Begitu juga gambar Darjah dan Bintang Kebesaran yang dipakai baginda berdua. Datuk Azman akan meminta setiap satu pingat sebenar seperti di dalam gambar untuk diteliti semula sebelum dilukis,” katanya.

Saiz lukisan luar biasa

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut meminta Azman melukis semula beberapa setem kesayangan baginda dengan melakukan membesarkan saiz setem itu kepada saiz 11R.

Beliau berkata, lukisan-lukisan setem itu juga digantung di beberapa ruang di dalam galeri berkenaan.

“Saiz lukisan bergantung kepada kehendak Tuanku dan kesesuaiannya. Ia bergantung kepada perbincangan dengan pelukisnya.

“Sebagai contoh, saiz setem terlalu kecil, jadi Tuanku meminta Datuk Azman melukis setem dalam saiz besar agar pengunjung dapat menikmati setiap apa dilakarkan di dalam lukisan setem itu.

“Setakat ini, saiz lukisan paling besar bersaiz manusia seperti lukisan Almarhum ayahanda Tuanku yang mengenakan pakaian adat istiadat,” katanya.

“Pengunjung yang meminati seni akan menghabiskan masa lama untuk meneliti setiap satu hasil seni terbabit dan kebanyakan mereka sangat kagum dengan minat luar biasa baginda.”

Pengunjung menikmati hasil seni

Munasor berkata, pelbagai golongan pengunjung datang secara berkumpulan atau perseorangan baik dalam lawatan rasmi mahupun sekadar aktiviti santai bersama keluarga dan rakan.

“Pada kebiasaannya, pengunjung datang ke galeri dengan tujuan berbeza, ada yang fokus kepada lukisan, ada fokus kepada artifak dan ada ingin melihat barangan diraja.

“Memang ada pengunjung yang fokus kepada lukisan sahaja termasuk pelukis yang sedang meningkat naik.

“Pengunjung yang meminati seni akan menghabiskan masa lama untuk meneliti setiap satu hasil seni terbabit dan kebanyakan mereka sangat kagum dengan minat luar biasa baginda.

Beliau berkata, ada juga datang untuk melihat koleksi lukisan baginda untuk dijadikan sumber inspirasi yang boleh mendorong mereka menjadi pelukis hebat seperti Azman, Datuk Hoessein Enas, Ahmad Nazri Abdullah dan Ibrahim Hussein.

Selaku pengurus besar galeri, Munasor sudah memahami dan terbiasa dengan minat Tuanku itu, malah beliau tidak menafikan sedikit sebanyak setiap lukisan ada berkaitan dengan kisah sejarah kesultanan, barangan Diraja dan bangunan istana.

INFO

  • Sehingga kini, Datuk Azman Yusof melukis kira-kira 300 lukis yang diminta oleh baginda.
  • Gambar hitam putih peristiwa Pengisytiharan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dilakar semula dalam bentuk lukisan bersaiz besar.
  • Koleksi lukisan baginda juga ditempatkan di Istana Bukit Kayangan, Istana Alam Shah dan Istana Mestika.
  • Antara lukisan yang dipamerkan ialah gambar ayat suci pada kain kiswah Ka’abah, keris, mimbar berkerawang dan konvoi dari Paris ke Dhaka.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

TOP
Sultan Abdul Aziz Royal Gallery

Alamat:
Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz
Bangunan Sultan Suleiman,
41000 Klang, Selangor Darul Ehsan.

Waktu Lawatan:
Selasa - Ahad : 10am hingga 5pm
Isnin & Cuti Umum : Tutup
Masuk Percuma

Maklumat lanjut
Tel: 03-3373 6500
Faks: 03-3373 6510
E-mel: info@galeridiraja.com

Sultan Abdul Aziz Royal Gallery