Kenali Kami
aleri Diraja Sultan Abdul Aziz (Galeri Diraja) wujud hasil dari buah fikiran S.P.B. Yang di-Pertuan Agong XI, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Lokasi asal ialah di Jalan Kota Raja, Syahbandaraya (Kampung Jawa) di Klang.
Bertempat di dalam kawasan istana, Galeri Diraja dahulunya dikenali sebagai 'Muzium Kenangan'. Ianya siap dibina pada tahun 1988 dan dibiayai sepenuhnya oleh Almarhum. Pada tahun 1996, Almarhum telah menitahkan kerja-kerja pengubahsuaian agar premis ini dapat dibuka kepada rakyat jelata.
Pada tahun 1998, Almarhum telah berkenan menukar nama Muzium Kenangan kepada Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz mengambil sempena nama kelahiran Almarhum. Dengan sokongan kerajaan negeri, Galeri Diraja siap diubahsuai dan dibuka kepada umum pada tahun 2000. Setahun kemudian Almarhum telah kembali ke rahmatullah dan Galeri Diraja telah ditutup buat sementara.
Setelah D.Y.M.M. Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menaiki tahta pada tahun 2001, Baginda telah menitahkan agar inisiatif Almarhum Ayahanda Baginda diteruskan. Maka Baginda telah menitahkan agar Bangunan Sultan Suleiman, bangunan yang dibina pada tahun 1909, dijadikan lokasi Galeri Diraja yang baru.
Pada awal tahun 2005, dengan kerjasama dari Jabatan Kerja Raya Negeri dan pihak perunding, kerja-kerja konservasi dimulakan. Tujuh belas bulan kemudian, semua kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian selesai dilaksanakan keatas bangunan seluas 17,000 kaki persegi ini termasuk pembinaan bangunan pentadbiran dan stor baru.
Pada tanggal 17 Oktober 2007, Baginda dengan bangganya merasmikan Galeri Diraja dan dibuka kepada umum pada 1 November tahun yang sama.
Baginda berharap agar Galeri Diraja dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat jelata bagi memperkayakan lagi pengetahuan mengenai Kesultanan Selangor dan secara langsung dapat menghargai pengorbanan Almarhum Paduka Ayahanda Baginda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Ini ialah kerana sebahagian besar dari pameran Galeri Diraja berkisar mengenai riwayat hidup Almarhum yang telah memerintah Selangor selama lebih 39 tahun sebagai Sultan Selangor ke 8 dan lebih dari 2 tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke Sebelas.
Koleksi diraja terdiri daripada pelbagai koleksi artifak dan hadiah peribadi yang unik. Pameran juga memaparkan replika permata mahkota Selangor.
Lawati GALERI DIRAJA SULTAN ABDUL AZIZ dan lihatlah keunikan warisan dan legasi kesultanan Selangor.
Barangan dan cenderamata eksklusif!
Klik pautan di bawah untuk pelbagai jenis produk dan cenderamata. Jangan lepaskan peluang dan tawaran istimewa kami. Mulakan membeli-belah sekarang!